KUCHING: Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini akan diadakan secara hibrid pada 10 Oktober depan.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, sambutan HSN peringkat negeri tidak dapat diadakan secara serentak dengan sambutan di peringkat kebangsaan iaitu pada 9 Oktober.
Jelasnya, ini disebabkan tarikh itu adalah sama dengan Hari Keputeraan Tuan Yang terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri (YDPN) Sarawak Tun Pehin Seri Abdul Taib Mahmud.
“Pada peringkat kebangsaan ia diadakan pada 9 Oktober 2021. Kita tidak dapat mengadakannya pada 9 Oktober kerana pada hari itu kita menyambut hari keputeraan Tuan Yang terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Seri Abdul Taib Mahmud.
“Jadi, kita telah bersetuju dan memaklumkan kepada jawatankuasa di peringkat pusat serta Menteri Belia dan Sukan bahawa kita akan mengadakan pada tarikh yang berlainan dan bulan yang sama.
“Selepas bermesyuarat, kita telah bersetuju untuk mengalih atau mengatur Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak pada 10 Oktober 2021 iaitu satu hari selepas peringkat kebangsaan,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak 2021 yang diadakan di Kuching pada Selasa.
Datuk Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak memberitahu sambutan itu dijangka akan dirasmikan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.-EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS